Ticker

6/recent/ticker-posts

Header Ads Widget

Lagi projek di kawasan ‘sensitif’ Bukit Cerakah

SHAH ALAM 10 Jan. – Dua tahun lepas sebuah syarikat pemaju perumahan dikenakan denda kerana menjalankan kerja pembangunan hartanah berhampiran Taman Pertanian Bukit Cahaya Sri Alam di sini tanpa mematuhi syarat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

Setelah isu itu reda selepas berakhirnya proses mahkamah, kini muncul satu lagi projek pembangunan hartanah baru hanya 500 meter dari tapak projek pembinaan rumah yang menyeret pemajunya ke mahkamah.

Isu pembangunan tidak terancang berhampiran Hutan Simpan Bukit Cerakah itu dulu telah menarik perhatian umum, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, serta mencetuskan bantahan khususnya daripada pencinta alam.

Cuma bezanya kerja terbaru untuk pembinaan 210 unit rumah oleh Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) itu dikatakan bermula selepas segala syarat kelulusan teknikal daripada enam agensi kerajaan dipatuhi.

Agensi-agensi itu ialah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Mineral dan Geosains Selangor, Kumpulan Ikram dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Sehingga ini kerja pembangunan itu berada pada peringkat meratakan tanah di kawasan seluas 30 hektar daripada keseluruhan kawasan seluas 117.2 hektar.

Pengurus Besar Pengawasan dan Penyelarasan Projek PNSB, Mohd Azlan Kachong berkata, mereka belajar daripada kesilapan pemaju-pemaju terdahulu di kawasan yang sensitif itu supaya tidak berbangkit sebarang masalah selepas ini.

Katanya, tanah bagi tapak projek itu adalah sebahagian bekas Hutan Simpan Bukit Cerakah yang diberi kelulusan milik secara sah kepada PNSB oleh kerajaan Selangor pada 2002, sebelum lagi tercetusnya isu pembangunan hutan simpan di Bukit Cahaya Sri Alam.

“Kami amat teliti dan mematuhi undang-undang sehinggakan projek kami ini mendapat kelulusan EIA terlebih dahulu, walaupun menurut peraturan kerja pembangunan ke atas tanah seluas itu tidak memerlukan kelulusan tersebut.

“Projek kami juga tidak mendatangkan kesan alam sekitar ke atas Taman Pertanian Bukit Cahaya kerana jaraknya 13 kilometer,” katanya kepada Bernama.

Menurut beliau, buat masa ini pihaknya menangguhkan projek meratakan tanah kerana menunggu lawatan pegawai dari JAS dan JPS untuk menilai pembinaan kolam tadahan yang wajib disediakan.

Mohd. Azlan menyangkal dakwaan penduduk kononnya kerja pembangunan tanah yang dijalankan PNSB menjadi punca kepada kejadian banjir di Kampung Budiman, 5km dari tapak projek perumahan itu.

Katanya, sebelum kerja pembangunan itu dijalankan, banjir memang sering melanda kampung berkenaan kerana kedudukannya di kawasan lembah diapit dua kawasan tinggi.

Di sebalik segala perakuan dan kenyataan itu, kini timbul tandatanya baru sama ada perkembangan mutakhir di kawasan hutan simpan yang sensitif itu menjadi isyarat awal kepada kemungkinan lebih banyak kerja pembangunan akan dijalankan di tanah di situ yang telah diagih-agihkan oleh kerajaan negeri kepada beberapa pemaju sebelum ini.

Susulan kekecohan dua tahun lepas, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo bertindak membekukan semua projek pembangunan di kawasan yang mempunyai kepentingan alam sekitar di kawasan hutan simpan itu.

Seorang aktivis alam sekitar, Mohd. Nizam Mahshar melahirkan rasa kesal kerana kerajaan negeri terus memberi hak milik tanah di situ kepada syarikat pemaju.

Mohd. Nizam, dari Sahabat Alam Malaysia (SAM), berkata, kerajaan negeri gagal melihat nilai biodiversiti Taman Pertanian Bukit Cahaya Sri Alam dan hutan simpan berhampirannya yang sepatutnya dipelihara dan dilindungi.

“Pembangunan menyeluruh di Seksyen U10 akan menyebabkan taman pertanian itu menjadi sebuah pulau hutan yang dikelilingi hutan konkrit kerana ia sudah terpisah dari Hutan Simpan Bukit Cerakah.

“Sepatutnya hutan simpan yang bersempadan dengan taman pertanian tidak perlu diberi hak milik kepada pemaju kerana ia perlu dikekalkan sebagai zon penampan,” katanya.

Mohd Nizam berkata, beliau hairan kenapa ketika kerajaan sedang mempromosikan pertanian secara besar-besaran tetapi dalam masa yang sama Taman Pertanian Bukit Cahaya kian terancam.

Jurucakap Jabatan Perhutanan Negeri Selangor pula berkata, setiap pemaju yang tanahnya bersempadan dengan hutan simpan berkenaan dikehendaki meninggalkan baki hutan antara 20 dan 50 meter sebagai zon penampan di dalam kawasan mereka, bergantung kepada bentuk muka bumi.

Hutan simpan yang ada sekarang telah diwartakan sebagai kawasan tadahan air dengan keluasan 400 hektar yang kebanyakannya terletak di Seksyen U15 manakala baki hutan simpan di U10 sebenarnya telahpun menjadi milik beberapa pemaju.

Jurucakap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Selangor pula bimbang kesan pendogolan hutan di sekitar Seksyen U10 akan menyebabkan pelbagai haiwan dan unggas termasuk monyet dan tikus akan berpindah dan merosakkan Taman Pertanian Bukit Cahaya.

“Kita mengenal pasti terdapat beberapa ekor haiwan seperti tapir, musang belang dan landak raya yang menghuni hutan simpan itu sudah tiada lagi. Spesies paling banyak ialah monyet,” katanya.

– Bernama (10/1/07)

Post a Comment

0 Comments