Ticker

6/recent/ticker-posts

Header Ads Widget

Perubatan - UiTM diarah ambil ramai pelajar

Oleh MARZITA ABDULLAH


FAKULTI Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang baru sahaja berusia dua tahun diberi kepercayaan oleh kerajaan untuk mengambil jumlah pelajar perubatan terbanyak tahun ini berbanding fakulti perubatan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lain.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Seri Dr. Ibrahim Abu Shah berkata, kepercayaan tersebut memperlihatkan keyakinan kerajaan kepada UiTM untuk melahirkan lebih ramai pakar perubatan Melayu.

Bermula dengan hanya 20 pelajar bagi pengambilan pertama pada awal penubuhannya iaitu pada tahun 2003, fakulti berkenaan menambah sebanyak 63 pelajar pada tahun berikutnya dan tahun ini sebanyak 100 pelajar diambil.

``Walaupun kita melalui pengalaman yang agak perit untuk mendapat kelulusan bagi penubuhan fakulti ini namun kita gembira ia mendapat keyakinan tinggi daripada semua pihak,'' katanya.

Universiti itu meletakkan sasaran sebanyak 1,200 pelajar perubatan menjelang tahun 2010 dengan harapan ia mampu mengimbangi jumlah pakar perubatan berdasarkan kaum di negara ini.

Secara jelas katanya, penubuhan fakulti berkenaan bukan sahaja membantu menambah jumlah doktor tempatan namun ia sebagai salah satu usaha meramaikan pakar perubatan Melayu.

Mengimbangi

Beliau melihat persaingan sebagai sihat kerana ia perlu mengimbangi jumlah pelajar perubatan dari kaum lain yang kini tertumpu di IPT swasta (IPTS).

Namun beliau menegaskan, walaupun fakulti berkenaan baru ditubuhkan namun pihaknya tidak pernah berkompromi dengan kualiti pengajaran dan pembelajaran.

``Penubuhan fakulti perubatan itu bukan bermakna kita baru dalam bidang perubatan dan kita tidak mempunyai apa-apa asas dalam bidang tersebut,'' katanya.

Sebelum menawarkan program berkenaan, UiTM telah pun menawarkan program farmasi menerusi Fakulti Farmasi UiTM bermula tahun 2001.

Sebelum itu, iaitu pada tahun 1996, UiTM telah pun menawarkan program enam program yang berkaitan dengan sains kesihatan di peringkat diploma.

Antaranya ialah program Kejururawatan, Teknologi Makmal Perubatan, Imejan Perubatan, Kesihatan Alam Sekitar dan Fisioterapi yang kini diletakkan di bawah fakulti yang sama dengan program perubatan.

Program perubatan selama lima tahun itu buat masa ini dilaksanakan di kampus tetap UiTM Shah Alam dan dijangka akan menerima fakulti tetap di Puncak Alam tidak lama lagi.

Kesemua pelajar perubatan akan menerima latihan perubatan di Hospital Selayang dan Hospital Sungai Buloh.

Post a Comment

0 Comments