Ticker

6/recent/ticker-posts

Header Ads Widget

Petanda hati yang sakit

Artikel penuh di: http://koleksi-alqalam.blogspot.com/2009/06/hatimengenali-hati-cara-menjaga-dan.html

TANDA-TANDA HATI YANG SAKIT

1. Hati yang sakit tidak membisikkan kepada tuannya untuk mencapai tujuan hidup iaitu untuk mengenali Allah, mencintaiNya, merindui untuk bertemu denganNya, kembali kepadaNya dan mengutamakanNya dari segala bentuk syahwat (yakni keinginan diri kepada dunia, keseronokan, harta dan wanita). Oleh itu, seorang hamba yang memiliki hati yang sakit, ia lebih mengutamakan kepentingan diri dan syahwatnya dari mentaati Allah dan menyintaiNya. Hidupnya adalah dengan bertuhankan hawa nafsunya sendiri sebagaimana firman Allah;

"Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) orang yang telah menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya? Dapatkah engkau menjadi pelindungnya (dari kesesatan)?". (al-Furqan; 43)

2. Orang yang mempunyai hati yang sakit, antara tandanya ialah ia tidak kisah dengan dosa dan maksiat. Apabila ia melakukan maksiat, ia tidak rasa berdosa, resah atau gelisah kerana melanggar perintah Allah. Berbeza dengan orang yang memiliki hati yang bersih, hatinya akan berasa sakit dan pedih apabila tersilap atau tersengaja melakukan dosa, lalu ia segera kembali kepada Allah dan bertaubat kepadaNya. Firman Allah tentang sifat-sifat orang bertakwa;

"(Dan antara tanda orang bertakwa ialah) orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)". (Ali Imran: 135)

3. Orang yang mempunyai hati yang sakit, ia tidak kisah dengan kejahilan dirinya. Ia tidak berasa resah dan gelisah sekalipun menyedari diri jahil tentang kebenaran. Akibatnya, ia tidak berusaha mencari ilmu. Berbeza dengan orang yang memiliki hati yang bersih. Ia tidak senang duduk apabila menyedari diri masih jahil. Ia akan berusaha menuntut ilmu bagi membuang kejahilannya. Berkata ulamak; "Tidak ada maksiat yang dilakukan oleh hamba yang lebih keji dari membiarkan diri dalam kejahilan". Pernah ditanya kepada Imam Suhail; "Apakah perkara yang lebih buruk dari kejahilan?". Ia menjawab; "Jahil tentang kejahilan diri sendiri".

4. Antara tanda orang yang hatinya sakit ialah ia berpaling dari makanan-makanan yang memanfaatkan hatinya, sebaliknya ia cenderung kepada racun-racun yang merosakkan hatinya. Makanan-makanan hati ialah ilmu dan ibadah termasuklah solat, zikrullah, bacaan al-Quran dan sebagainya. Adapun racun bagi hati ialah dosa dan maksiat. Orang yang memiliki hati yang sakit, ia lebih suka mendengar hiburan-hiburan yang melalaikan dari mendengar ayat-ayat al-Quran, majlis ilmu dan sebagainya lagi dari perkara-perkara yang mendekatkan diri kepada Allah. Baginya kelazatan melakukan maksiat lebih hebat dari kelazatan taqarrub kepada Allah. Padahal Nabi s.a.w. bersabda; "Akan merasai kelazatan iman sesiapa yang redha Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama dan Muhammad sebagai Nabinya". (Riwayat Imam Muslim)

5. Orang yang hatinya sakit, ia menjadikan dunia sebagai watannya; ia redha dengan dunia dan berasa tenang dengan kehidupan di dunia, lalu ia tidak mengharapkan akhirat dan tidak melakukan persediaan untuk akhirat. Ia tidak mengambil sikap seperti yang dipesan oleh Nabi s.a.w.; "Hiduplah kamu di dunia ini seolah-olah kamu orang asing atau seorang pengembara". (Riwayat Imam al-Bukhari).

Post a Comment

0 Comments