Ticker

6/recent/ticker-posts

Header Ads Widget

"KAMAL REDHO" DALAM KENANGAN.


Pada pagi Khamis 22.11.2007, keseluruhan sahabat-sahabat di Shah Alam 2 di kejutkan dengan berita sedih kematian Saudara Kamal Bin Abdul Rahman yang beralamat di No. 16, Lorong Naluri Sukma 8/25D ( 2B2 Highland ). Allahyarham Kamal atau lebih dikenali di Shah Alam 2 sebagai Kamal Redho menghembuskan nafasnya yang terakhir di Masjid Madinah, Arab Saudi kerana menjadi tetamu Allah bagi mengerjakan ibadah haji. Allahyarham bersama isteri dan ibu mertuanya berangkat ke Tanah Suci pada 18.11.2007.

Pada pagi Selasa 20.11.2007, Allahyarham sempat menghantar pesanan ringkas sms kepada sahabat-sahabatnya di Shah Alam 2 yang berbunyi " Assalamualaikum, saya sedang berada di Masjid Nabi. Ya Allah, diatas rahmat Mu murahkanlah rezeki sahabatku ini dengan rezeki yang halal. Kurniakanlah kebahagiaan pada keluarganya. Jadikanlah mereka orang-orang yang beriman yang sentiasa sujud pada Mu ". Itu lah kata-kata kenangan dan doa terahir yang di hadiahkan oleh Allahyarham untuk sahabat-sahabatnya. Kesayuan pasti terasa pada individu yang menerima pesanan tersebut mungkin untuk dipahatkan didalam ingatan sahabat-sahabatnya.

Semasa hayatnya, Allahyarham Kamal Redho merupakan insan yang sangat berbudi bahasa, merendah diri dan penyayang. Jasa-jasanya kepada masyarakat Shah Alam 2 tidak terhingga. Beliau adalah antara insan terawal yang bertanggung jawab menubuh dan membina Surau At-Taufiqiyyah, Shah Alam 2. Allahyarham merupakan Bendahari surau yang pertama. Banyak wang ringgit dan masanya dihabiskan semasa membina surau pertama di Lorong 9/3 dahulu dan juga surau yang ada sekarang. Allahyarham adalah seorang yang komited terhadap tanggungjawab yang diberi kepadanya. Satu perkara yang pastinya akan diakui oleh masyarakat Shah Alam 2 khasnya, Allahyarham sangat mengambil berat tentang pengurusan jenazah dan ziarah kematian samada sahabatnya mahupun keluarga sahabatnya. Jika beliau mendapat berita kematian, beliaulah orang yang pertama akan sampai dirumah keluarga simati.
Semasa Kursus Pengurusan Jenazah yang diadakan di Surau At-Taufiqiyyah yang lalu, Allahyarham telah menawarkan diri menjadi model mayat bagi memudahkan peserta kursus belajar dengan lebih terperinci.

Di dalam kegiatan masyarakat setempat yang lain, Allahyarham Kamal Redho juga aktif melibatkan diri terutama di dalam aktiviti persatuan penduduk dan sukan. Pada sukan Shah Alam 2 tahun ini, beliau telah menyumbangkan piala pusingan untuk pertandingan bolasepak dan sepak takraw. Piala yang tidak sempat dilihat olehnya untuk disampaikan kepada pemenang. Beliau bermain sepaktakraw sebagai tekong mewakili pasukan 2B2 didalam Sukan Shah Alam 2. Gelak tawa dan senda guraunya pasti masih terbayang-bayang di ingatan sahabat-sahabatnya.

Namun, Allah Yang Maha Besar lebih menyayanginya tatkala menjadi tetamuNya. Jasa-jasa, kasih-sayang dan hilai-tawanya pasti menjadi kenangan kepada keluarganya, sahabat-sahabatnya, jiran-jiran dan sesiapa yang mengenalinya. Semuga roh Allahyarham Kamal Bin Abdul Rahman akan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.

"AL FATIHAH"

Sekian.


Post a Comment

0 Comments